Wednesday, June 24, 2009

Perihal King Midas seorang raja yang tamak..

Ceritera dongeng ini ana petik dari buku yg sedang ana hayati "Nota hati seorang lelaki"..

Meskipun tajuknya lelaki, namun ilmunya menyeluruh..sesuai untuk sang putera mahupun si puteri..

Ceritanya berbunyi begini:

"Perihal King Midas seorang raja yang tamak. Dia mementingkan harta dari segalanya. Bak kata orang sekarang "mataduitan" atau "meterialistik". setiap perbuatan dan penilaiannya, semuanya dari kacamata ringgit dan permata. Lalu, apabila satu ketika diajukan apa permintaan yang diingininya, dia menyatakan keinginannya agar apa yg disentuh menjadi emas. Akhirnya, seorang tukang sihir telah "memperkenankan" permintaannya. Maka, bergembiralah KING MIDAS dengan kebolehannya menukarkan barang yg disentuhnya kepada emas.

Namun kegembiraannya tidak lama. Apabila berasa lapar dan dahaga, alangkah terkejutnya dia apabila makanan dan minuman yg disentuhnya menjadi emas. Emas walaupun berharga, masakan ia boleh menghilangkan lapar dan dahaga. Paling menyedihkan ialah apabila puteri kesayangannya datang bermanja, sang puteri turut bertukar menjadi emas apabila disentuhnya!
KING MIDAS terkejut dan sedih. Baru dia sedari bahawa emas bukan segala-galanya.."

begitulah serba ringkas cerita KING MIDAS..

Persoalannya:

KING MIDAS adalah lambang manusia yang kehilangan "nilai" dalam dirinya.
Adakah kita hanya bernilai apabila kita mempunyai jawatan tinggi di tempat kerja?
Adakah kita mulia dengan memiliki gaji yang bertimbun2..?
Muliakah kita dengan hanya memilik sebuah istana yang lengkap serba serbi?

Jika benar, siapakah diri kita apabila kesemua nikmat tadi ditarik balik oleh PEMILIK sekalian makhluq?

*****

Terdapat sebuah lagi cerita sufi dari turki, seorang yang bernama Nuruddin Khoja. Pada suatu hari, Nuruddin Khoja memasuki sebuah kampung dengan memakai serban dan jubah besar sambil menunggang keldai. Orang kampung menyambut kedatangannya dengan melaungkan "Ulama, ulama, ulama... Ulama' sudah datang, marilah kita belajar daripadanya."

beliau hairan, lalu bertanya, "Mana kamu semua tahu yang aku ini ulama'?"

Seseorang menjawab, "Daripada serban dan jubah yang tuan pakai."

Lalu Nuruddin menanggalkan serbannya dan diletakkan ke atas kepala keldai dan berkata, "Nah, belajarlah daripada keldai ini"

Orang kampung kehairanan dan bertanya, "Mengapa kami perlu belajar daripada keldai ini?"

Secara selamba Nuruddin menjawab, "Bukankah kamu semua menganggap bahawa aku seorang ulama' hanya kerana aku berserban? Jika demikian keldaiku sekarang telah berserban, maka kamu belajarlah daripadanya."

Sindiran sinis daripada Nuruddin ini sesungguhnya membuktikan bahawa pakaian luaran bukan petunjuk nilai diri kita. Nilai ulama' pada ilmu dan akhlaqnya, bukan pada pakaian yg dipakainya..

Tetapi, acapkali orang menilai seseorang daripada pakaian dan rupa paras..

Pengajaran:

-Jangan dinilai seseorang dengan paras rupanya...
-Seorang guru perlu mengelakkan dari "cakap belakang" akan perihal murid2, bimbang nanti dia pilih kasih dalam memberi ilmu..(erk..yg ni jauh sikit kaitannya, tapi tak sempat nak hurai laa..)
-Ahli hikmah akan dikurniakan Allah setiap tingkah laku dan perbuatannya yg penuh dengan hikmah


sumber: Nota hati seorang lelaki, tulisan Pahrol Mohamad Juoi..

Al-Hadith : Jangan Bercakap Kotor Ketika Puasa

Daripada Abu Hurairah r.a., katanya:

"Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah 'Azzawajalla berfirman - dalam Hadis qudsi: "Semua amal perbuatan anak Adam - yakni manusia - itu adalah untuknya, melainkan berpuasa, kerana sesungguhnya puasa itu adalah untukKu dan saya akan memberikan balasan dengannya.

Puasa adalah sebagai perisai - dari kemaksiatan serta dari neraka. Maka dari itu, apabila pada hari seseorang di antara engkau semua itu berpuasa, janganlah ia bercakap-cakap yang kotor dan jangan pula bertengkar. Apabila ia dimaki-maki oleh seseorang atau dilawan bermusuhan, maka hendaklah ia berkata: "Sesungguhnya saya adalah berpuasa."

Demi Zat yang jiwa Muhammad ada di dalam genggaman kekuasaanNya, nescayalah bau busuk dari mulut seseorang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.

Seseorang yang berpuasa itu mempunyai dua kegembiraan dan ia dapat merasakan kesenangannya, iaitu apabila ia berbuka, ia pun bergembiralah dan apabila telah bertemu dengan Tuhannya, ia pun gembira dengan adanya amalan puasanya."

(Muttafaq 'alaih)

Wednesday, June 10, 2009

Al-Hadith : Apabila Allah Mencintai HambaNya




Daripada Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya:

"Jikalau Allah Ta'ala itu mencintai seseorang hamba, maka Dia memanggil Jibril dan memberitahu bahawa Allah mencintai si Fulan, maka cintailah si Fulan itu (wahai Jibril)."

Jibril lalu mencintainya, kemudian ia mengundang seluruh penghuni langit dan memberitahu bahawa Allah mencintai si Fulan, maka cintailah si Fulan itu.

Para penghuni langit pun lalu mencintainya. Setelah itu diletakkanlah kecintaan padanya di kalangan penghuni bumi.


(Muttafaq 'alaih)



Kesimpulan dari hadith ni, cintailah Allah! Nescaya anda akan turut dicintai makhluqnya..

Monday, June 8, 2009

Hadith: Neraka yg begitu menakutkan..

Daripada Anas r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. mengucapkan sebuah khutbah yang saya tidak pernah mendengar suatu khutbah pun seperti itu (kerana amat menakutkan). Beliau s.a.w. bersabda:

"Andaikata kamu semua tahu apa yang aku ketahui, nescayalah kamu semua akan tertawa sedikit dan akan menangis banyak-banyak. "

Para sahabat Rasulullah s.a.w. lalu menutupi masing-masing wajahnya sambil terdengar suara isaknya. (Muttafaq 'alaih)

Dalam riwayat lain disebutkan:

Rasulullah s.a.w. menerima berita bahawa ada sesuatu tentang sahabat-sahabatnya, lalu beliau berkhutbah, kemudian bersabda:

"Ditunjukkanlah syurga dan neraka padaku maka belum pernah aku melihat sesuatu yang melebihi penglihatanku pada hari itu tentang bagusnya syurga dan buruknya neraka. Dan andaikata kamu semua dapat melihat apa yang dapat aku lihat, maka nescayalah aku semua akan ketawa sedikit dan menangis banyak-banyak. "

Maka tidak pernah datang pada para sahabat Rasulullah s.a.w. laitu hari yang lebih dahsyat lagi dari hari itu(tentang ngerinya khutbah yang diberikan oleh beliau s.a.w.) Para sahabat semua menutupi kepala masing-masing sambil terdengar suara esaknya.

Wednesday, May 20, 2009

Dengan nama Allah yg maha pemurah lagi maha mengasihani~



Assalamualaikum dan salam sejahtera...

kepada pengunjung setia, mahupun pengunjung sementara..

setelah sekian lama blog ini terbiar tidak berpenghuni, nak dibuang sayang, nak dihidupkan semula tak berkesempatan..namun kugagahi jua..

ade shbt pesan, "tukar la layout ke ape, semacam hijrah!" ianya buleh jadi pemangkin kepada semangat yg baru..hehe..
sy jwb, "tgklah.."

mungkin kerana ketiadaan bakat..sudah jenuh diasah..namun tak mahu tajam2 juga..nak buat macamana..

kali ini ana sekadar nak berkongsi kata-kata dari seorang ulama' terkemuka Al.Imam Al-ghazali yg bermaksud,


"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang"

"Carilah hatimu di tiga tempat, pertama ketika solat, kedua ketika membaca al quran dan ketiga ketika engkau mengingati kematian. Jika pada tiga tempat itu engkau tidak menemukan hatimu, maka mohonlah kepada Allah agar Ia memberimu hati kerana sesungguhnya engkau ketika itu tidak memiliki hati"
- Al Imam Al Ghazali

Syukran buat sahabat ana kak aisyah yg mengirimkan kata2 tersebut awal pagi tadi..

Ana kini sedang mengislahkan diri..kerap kali runsing..hati tak tenang..mungkin sbb semakin jauh dgn tarbiah..

...............

aku merindui Noriza Ariffin yg dahulu..bantulah aku menemuinya Ya Allah...


Thursday, March 12, 2009

Kasih terhadap Baginda

TANGGAL 12 Rabiul Awal setiap tahun umat Islam menyambut kehadiran tarikh kelahiran Nabi Muhammad s.a.w, melalui pelbagai acara, antaranya perarakan besar-besaran, ceramah agama dan jamuan.

Ada juga majlis marhaban dan qasidah yang dialunkan dengan suara merdu dan penuh bersemangat, berdasarkan kitab Berzanji dan Burdah al-Bushairi. Semuanya demi menggambarkan kasih terhadap Baginda.


Saban tahun, kemunculan 12 Rabiul Awal turut mengundang polemik antara keharusan dan bidaahnya menyambut maulidul rasul.

Satu pihak mendakwa ia bidaah kerana tidak pernah dilakukan Nabi s.a.w, sahabat dan golongan salafussoleh.

Malah, jika ditinjau dari Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad, tidak pernah menganjurkan sambutan maulidul rasul ini.

Tetapi, adakah mereka tidak mencintai Nabi Muhammad s.a.w sebagaimana generasi sesudah mereka yang menganjurkan sambutan maulidul rasul?

Satu pihak lagi yang menyokong sambutan ini menganggap bidaah yang baik (hasanah) dan hanya bertujuan untuk mengagungkan Rasulullah s.a.w dan mencerminkan kasih sayang kepada Baginda.

Bahkan, menurut mereka tiada larangan muktamad daripada Allah dan Rasul-Nya ke atas sambutan maulidul rasul ini.

Apa pun, kita tidak ingin menyambung polemik tanpa penghujung ini. Cuma yang ingin dibincangkan ialah tatacara untuk membuktikan kasih sayang dan pengagungan terhadap Nabi s.a.w.

Mencintai Nabi Muhammad s.a.w itu adalah satu prinsip agama yang sangat penting. Seseorang tidak dianggap beriman sehingga dia benar-benar mencintai Nabi melebihi dirinya sendiri, kaum kerabat dan harta-bendanya.

"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai (jika semua itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya)..." (Surah al-Taubah: 24)

Rasulullah s.a.w berhak meraih cinta itu kerana Baginda makhluk paling mulia di sisi Allah, memiliki akhlak yang luhur, mengasihi umatnya, memberi petunjuk dan menyelamatkan umatnya dari neraka, malah menjadi rahmat kepada seluruh alam.

Orang yang benar-benar mencintai Rasulullah s.a.w memiliki ciri tertentu. Berikut adalah tanda yang membuktikan perasaan cinta kita kepada Rasulullah s.a.w:



  • Mentauhidkan Allah - Hikmah utama diutusnya rasul termasuk Nabi Muhammad s.a.w adalah untuk menyeru manusia kembali kepada tauhid yang murni dan menentang syirik.

    "Dan sesungguhnya Kami telah mengutus di kalangan tiap-tiap umat seorang rasul (agar menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhi Taghut." (Surah al-Nahl: 36)

    Maksud mentauhidkan Allah ialah beribadat hanya kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu.

  • Mempelajari al-Quran, memahaminya, mengamalnya dan menyebarkan ajarannya - Mukjizat yang paling utama bagi Rasulullah s.a.w ialah al-Quran al-Karim, iaitu aset utama baginya dalam menyebarkan Islam.

    Ibnu Mas'ud berkata: "Janganlah seseorang menanyakan untuk dirinya, kecuali al-Quran. Apabila dia mencintai al-Quran, maka dia mencintai Allah dan Rasul-Nya." (Huquq al-Nabi)

  • Mentaati sunnah Nabi s.a.w - Satu lagi tanda yang jelas menggambarkan perasaan sayang kita kepada Nabi s.a.w ialah dengan mengerjakan sunnahnya, mengikuti perkataan dan perbuatannya, menjalankan perintahnya dan menghindari larangannya.

    Ini kerana Allah memberi jaminan yang Baginda adalah insan terbaik untuk dijadikan contoh ikutan bagi umat manusia.

    "Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik bagi kamu..." (Surah al-Ahzab: 21)

  • Menyebarkan sunnah Nabi s.a.w - Sabda Baginda s.a.w, maksudnya: "Kamu semua hendaklah sampaikan apa yang diambil daripadaku walau satu ayat." (Hadis riwayat al-Bukhari)

  • Sentiasa memuji dan mengingatinya - Sekiranya kita mencintai Nabi Muhammad s.a.w, seharusnya baginda sentiasa berada di hati kita.

    Kita juga sepatutnya memuji Nabi s.a.w dengan pujian yang selayak baginya. Pujian yang paling utama adalah dengan berselawat kepadanya dengan selawat yang terdapat dalam hadis yang sabit daripada Baginda.

  • Mencintai mereka yang dicintai oleh Nabi s.a.w - "Janganlah kamu semua mencaci salah seorang sahabatku. Ini kerana, sekiranya salah seorang di kalangan kamu menafkahkan emas sebesar gunung Uhud, semua itu tidak mampu menyamai satu mud (yang diinfakkan) salah seorang antara mereka malah tidak mencapai separuh." (Hadis riwayat Muslim)

  • Benci orang dibenci Nabi s.a.w - Hendaklah kita membenci dan menjauhkan diri dari mereka yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya seperti golongan yang kufur kepada agama Allah dan mereka yang bergelumang dengan perbuatan bertentangan syarak.

  • Membela Nabi s.a.w dari serangan golongan munafik - "Sesiapa yang membela kami dari gangguan orang-orang musyrik dia akan mendapat balasan syurga atau menjadi temanku di syurga." (Hadis riwayat Muslim)

  • ~
  • juga dipetik dari mymetro..
  • sekadar perkongsiann..
  • Wednesday, February 25, 2009

    Tazkirah Remaja: Usah buka aib sesama Muslim

    Kelak Allah tutup aibnya di akhirat

    DALAM satu hadis Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang menutup keaiban saudaranya sesama Muslim, kelak Alah akan tutup aibnya di akhirat."


    Cuba kita sama-sama teliti satu kisah di zaman Nabi Musa a.s. Pada suatu ketika Bani Israel ditimpa musim kemarau yang berpanjangan. Mereka berkumpul dan datang menemui nabi.

    Mereka berkata: "Ya Kaliimallah! Berdoalah kepada Tuhanmu agar Dia menurunkan hujan kepada kami."

    Berangkatlah Nabi Musa bersama kaumnya menuju ke padang pasir yang luas. Dengan jumlah yang ramai itu mereka berdoa dalam keadaan lusuh dan penuh debu, haus serta lapar.

    Nabi Musa berdoa: "Ilaahi! Asqinaa ghaitsak...wansyur 'alaina rahmatak..."

    Selepas itu langit tetap saja terang benderang, matahari pun bersinar makin berkilauan. Maknanya segumpal awan pun tidak muncul jua.

    Kemudian Nabi Musa berdoa lagi: "Ilaahi...asqinaa..."

    Allah pun berfirman kepada Nabi Musa, maksudnya: "Bagaimana Aku akan menurunkan hujan kepada kalian sedangkan di antara kalian ada seorang hamba di kalangan yang hadir berdoa bermaksiat sejak 40 tahun lalu. Umumkanlah di hadapan manusia agar dia berdiri di hadapan kalian semua. Kerana dialah Aku tidak menurunkan hujan untuk kalian..."

    Lalu Nabi Musa pun berteriak di tengah-tengah kaumnya: "Wahai hamba yang bermaksiat kepada Allah sejak 40 tahun...keluarlah ke hadapan kami...kerana engkaulah hujan tidak turun..."

    Seorang lelaki melirik ke kanan dan kiri. Tidak seorang pun yang keluar di hadapan manusia. Saat itu pula dia sedar kalau dirinyalah yang dimaksud.

    Dia berkata dalam hatinya: "Kalau aku keluar ke hadapan manusia, maka akan terbuka rahasiaku. Kalau aku tidak berterus terang, maka hujan pun tidak akan turun."

    Hatinya pun gundah gulana. Air matanya pun menetes, menyesali perbuatan maksiatnya, sambil berkata di dalam hati: "Ya Allah! Aku sudah bermaksiat kepada-Mu selama 40 tahun. Selama itu pula Engkau menutupi aibku. Sungguh sekarang aku bertaubat kepada-Mu, maka terimalah taubatku."

    Tidak lama selepas pengakuan taubatnya itu, awan-awan tebal pun muncul. Semakin lama semakin tebal menghitam dan akhirnya turunlah hujan.

    Nabi Musa kehairanan. "Ya Allah, Engkau sudah turunkan hujan kepada kami, namun tidak seorang pun yang keluar di hadapan manusia."

    Allah berfirman, maksudnya: "Aku menurunkan hujan kepada kalian oleh sebab hamba yang kerananya hujan tidak kunjung turun."

    Nabi Musa berkata: "Ya Allah! Tunjukkan padaku hamba yang taat itu."

    Allah berfirman, maksudnya: "Ya Musa, Aku tidak membuka aibnya padahal dia bermaksiat kepada-Ku. Apakah Aku membuka aibnya sedangkan dia taat kepada-Ku!"

    Semoga cerita ini menjadikan kita hamba yang tidak menghina dan mengaibkan kesalahan yang dilakukan seseorang.

    Bukan itu sahaja, kita juga dilarang mendedahkan keaiban sendiri. Tetapi hal ini sering terjadi dalam dunia yang hangat dengan kejungkilan kisah dosa peribadi, kadang-kadang menjadi pelaris dan menghangatkan lagi buku dan siaran televisyen.

    oleh : Ust Zawawi Yusoh..

    dipetik dari mymetro..