Assalamu'alaikum Warahmatullah,
Moga tulisan ini menemui ikhwah dan akhawat sekalian dalam kasih dan sayang Allah, agar pandangan Allah kepada kita di saat ini adalah pandangan rahmahNya bukan pandangan kemurkaanNya.
Ikhwah dan Akhawat yang dikasihi,
Menyingkap peperangan Tabuk, peperangan terakhir Rasulullah SAW yang menemukan para mujahideen dengan tentera Rom bilamana Hercules ingin menyerang Madinah dan menghapuskan negara Islam yang pertama yang terbina di semenanjung Arab. Dalam Ghazwah Tabuk, para sahabat berlumba-lumba menyumbang harta benda mereka. Abu Bakar menyumbangkan seluruh hartanya. Umar Al-Khattab pula menyumbangkan separuh daripada harta yang dimilikinya. Uthman al-Affan tidak juga ketinggalan menyumbangkan harta yang banyak sehingga mempersiapkan satu pertiga keperluan tentera Islam pada ketika itu untuk berperang.
Ada beberapa sahabat yang fakir menemui Rasulullah lantaran mereka tidak mempunyai tunggangan yang boleh dinaiki, tidak mempunyai harta untuk diberi. Apabila baginda Rasulullah SAW berkata, "Aku tidak dapat menyediakan tunggangan yang boleh membawa kamu", lalu pulanglah mereka dengan berlinangan air mata mereka kerana kesedihan lantaran tidak punya apa-apa untuk disumbangkan untuk ghazwah tersebut.
Dan tiada (pula) berdosa atas orang-orang yang apabila mereka datang kepadamu, supaya kamu memberi mereka kendaraan, lalu kamu berkata: "Aku tidak memperoleh kendaraan untuk membawamu." lalu mereka kembali, sedang mata mereka bercucuran air mata Karena kesedihan, lantaran mereka tidak memperoleh apa yang akan mereka nafkahkan. [At Taubah 9:92]
Ikhwah dan Akhawat sekalian..
Mari sama-sama kita refleksi dan koreksi diri. Berbezanya Tabuk dahulu dan 'Tabuk' masa kini..
Tabuk dahulu..
Mereka sedih bukan kerana dosa,
Kesedihan mereka kerana tidak dapat menyahut seruan Allah dan RasulNya..
Tabuk kini..
Dosa hanya ditepis bagaikan lalat yang menyinggahi hidung..
Jangan dikata sedih kerana tidak dapat taat kepadaNya,
Sedih berbuat dosa pun jarang sekali..
Tabuk dahulu..
Mereka sedih kerana kefakiran yang menghalang mereka berjuang..
Tabuk kini...
Kita gembira dengan kesenangan yang menghambat kaki dan tangan untuk pergi berjuang..
Tabuk dahulu...
Mereka sedih kerana tak dapat berjuang dan berperang..
Tabuk kini...
Kita gembira kerana terlepas dari melawan musuh Islam..
Tabuk dahulu..
Ghazwah kekurangan beberapa pejuang lantaran kefakiran..
Tabuk kini..
Kita kekurangan ribuan malah jutaan pejuang kerana ke'senang'an..
Tabuk dahulu..
Hati mereka meronta untuk berjihad di kala musim panas dan buah menyapa..
Tabuk kini..
Kita selesa bersenang lenang penuh kerehatan di rumah..
Tabuk dahulu..
Tatkala seruan jihad datang,
Mereka terus keluar untuk menyahut seruan..
Tabuk kini..
Sebutlah Palestin, Afghanistan..
Sungguh, kita diwarnai dengan terlalu sedikit kepedulian..
Ikhwah Akhawat sekalian,
Tabuk dahulu, mereka merintih kerana tidak berpeluang berjihad di medan perang, 'Tabuk' hari ini.. kita merintih kerana tidak punya masa kerehatan. Mereka berebut peluang dan ruang, kita hilang banyak kesempatan yang mulia. Tapi, pernahkah sesekali hati kita menangis dan merintih, "Allah, aku tidak punya apa-apa untuk dipersembahkan kepadaMu..". Didiklah hati untuk bersedih apabila melakukan dosa, ajarlah hati untuk menangis berlinangan air mata apabila tidak punya apa-apa untuk dipersembahkan kepadaNya..
Betapa jauhnya dan tersasarnya kita berbanding mujahideen Tabuk.. Dan kita tak segan silu katakan, kitalah barisan pejuang Islam!
Sama-samalah kita refleksi hati, koreksi diri, moga-moga di saat kita melakar sejarah, diri kita dan hati kita sudah bersedia untuk bekerja untuk Islam dengan jiwa sebenar-benar pejuang Islam kerana Allah.
Kerja besar untuk perubahan yang besar, insya'Allah.
Allahu A'alam.
Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.
'Abidah Ali
IKRAM Putrajaya
Multimedia University, Cyberjaya
No comments:
Post a Comment